Rabu, 25 Februari 2015

ALOR GAJAH KAKI PUTUS

Alor Gajah :

“Hati saya sebak mendengar rintihan lemah isteri sebelum menyedari kaki kanannya putus sejurus terbabit dalam nahas jalan raya.
Dia kemudian meninggal dunia tidak lama kemudian,” luah Mohd Isa Zainal, 43.Dalam kejadian jam 7.45 petang kelmarin, mangsa, Halijah jalil, 42, putus kaki kanan selepas motosikal ditunggang bersama anak sulungnya, Siti Nurkamaliah, 13, terbabit kemalangan di Jalan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru di sini.

Motosikal ditunggang dua beranak itu dirempuh kereta model Proton Iswara dipandu lelaki berusia 32 tahun.

Mohd Isa berkata, isterinya menunggang motosikal model Suzuki RG bersama Siti dipercayai keluar selepas Maghrib untuk membeli barang dapur.

“Difahamkan pemandu kereta terbabit dalam perjalanan pulang ke Muar, Johor, selepas bertemu isterinya yang bertugas di Kuala Lumpur. Dia mahu memotong sebuah motosikal di hadapan sebelum nahas berlaku.

“Ketika mahu memotong motosikal di hadapannya, lelaki terbabit hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang anak serta isteri saya,” katanya.

Isnin, 23 Februari 2015

Kes kemalangan meningkat, syarikat insurans rugi RM5.04 bilion

Peningkatan kes kemalangan di seluruh negara menyebabkan syarikat insurans menanggung kerugian RM5.04 bilion berdasarkan nilai tuntutan insurans motor pada tahun lalu.

Jumlah itu merangkumi RM13.8 juta pembayaran harian membabitkan lebih 25 syarikat insurans yang berdepan dengan pelbagai tuntutan daripada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, mungkin ramai tidak sedar kebanyakan syarikat insurans menanggung kerugian berdasarkan tuntutan kemalangan yang semakin meningkat.

“Justeru, pelarasan kadar tarif premium insurans motor pada tahun ini adalah relevan bagi menyeimbangkan semula antara kerugian dan keuntungan syarikat,”katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.Syed Moheeb berkata, pelarasan di bawah Rangka Kerja Perlindungan Motor Baharu yang diperkenalkan pada 2012 itu menekankan kecekapan syarikat dalam menyediakan perlindungan bagi memastikan rakyat mampu membeli insurans pada premium berpatutan.

“Pelarasan diumumkan oleh BNM pada awal bulan ini, diguna pakai untuk polisi yang dibeli atau diperbaharui mulai semalam.“Pindaan berkenaan hanya terpakai bagi kereta persendirian, teksi awam dan bas ekspres, manakala kadar untuk jenis kenderaan lain tetap sama,” katanya.Beliau berkata, kesan kenaikan premium insurans kepada orang ramai dan perniagaan adalah kecil dan mungkin tidak akan dirasai.

“Berdasarkan kenyataan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), sebagai contoh, bagi perlindungan pihak ketiga, premium insurans bagi motosikal berkapasiti 110 cc mengalami kenaikan antara RM1 sehingga RM3.50 setiap tahun (maksimum 30 sen setiap bulan) dalam jangka masa empat tahun.

“Bagi kereta persendirian berkapasiti 1,400 cc, pelarasan premium antara RM6 sehingga RM34 setiap tahun (maksimum RM2.80 setiap bulan) dalam jangka masa sama, manakala bagi kenderaan perdagangan seperti teksi luar bandar dan bas, kesan daripada pelarasan premium terhadap penumpang kurang daripada 10 sen bagi setiap penumpang dan setiap perjalanan,

Jumaat, 20 Februari 2015

TIGA MAUT TAHUN BARU CINA

Tiga sekeluarga maut kemalangan

Mukah: Tiga beranak maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan Toyota Hilux di KM90, Sungai Buloh Selangau, dekat Mukah di sini, jam 8.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Jimmy Panyau berkata, dua mangsa maut di lokasi kejadian, Mohamad Rizal Lah, 32 dan ibu mertuanya Salmah Abdullah, 50, manakala mangsa ketiga isteri Mohamad Rizal, Edzuana Delima Edurus, 28 meninggal dunia di Hospital Sibu jam 4 pagi tadi.

Dua lagi penumpang Perodua Viva yang dalam perjalanan ke Miri itu, Ainatul Mahdiah Edurus dan Edurus Abdul Wahid cedera, kini dirawat di hospital Sibu.Pemandu Toyota Hilux Jesse Nyalu, 33 hanya mengalami cedera ringan.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengenai punca kejadian.

Khamis, 12 Februari 2015

TUAN GURU NIK AZIZ

AL-FATIHAH....
Jika belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.

_ _ _ _ _ _

Meninggalnya beliau di malam jumaat, moga Allah rahmati rohnya di kalangan yg beramal soleh di syurga firdaus.
Al-fatihah....������