Isnin, 15 Februari 2016

Kenaikan kadar saman bagus ke tidak

Melihat kenaikan kadar kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian semakin meningkat, pihak polis bercadang untuk menaikkan kadar saman. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan tersebut diharap dapat menghalang para pemandu daripada melanggar undang-undang terutamanya yang gemar memandu laju.

“Ia juga mampu mencegah pemanduan yang berbahaya di lebuh raya, terutamanya menjelang musim perayaan kerana kadar kematian akibat kemalangan dilihat agak tinggi ketika ‘Op Selamat 8/2016’ dijalankan sempena Tahun Baru Cina,” ujar Khalid dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun.

Khalid turut meluahkan kekesalannya apabila ada sesetengah pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ini kerana berpendapat kadar kompaun sebanyak RM300 tidak memberikan apa-apa makna buat mereka. “Kami mungkin akan meningkatkan kompaun tetapi kadar tersebut perlu dibincangkan kemudian,” katanya lagi.

Menurut Khalid, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 18.8% jumlah kemalangan dengan sebanyak 17,632 kes direkodkan berbanding 14,836 kes pada tahun sebelumnya. Manakala kadar kematian akibat kemalangan pula meningkat sebanyak 22.4% iaitu sebanyak 186 kes berbanding 152 kes pada tahun 2014.

“Sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berhadapan dengan kompaun yang maksimum. Sudah tiba masanya untuk kita bersikap tegas terhadap semua pengguna jalan raya. Tiada lagi advokasi di jalan raya dari kami,” tegas Khalid. Beliau turut berkata Ops Selamat akan berakhir pada 16 Feb ini.

Selasa, 26 Januari 2016

PRIHATIN : Najib Sumbang Bantuan Peribadi Buat Mangsa Langgar Lari

Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan tersebut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi membantu keluarga mangsa terbabit.

“Perdana Menteri memberikan sumbangan RM10,000 tunai kepada Aisyah dan wang itu dimasukkan ke akaun Tabung Hajinya.

“Dan kami dari Biro Kebajikan Umno Malaysia menyumbangkan kaki palsu kepada mangsa dan bila mangsa nanti sudah sihat, kami dari pihak Tabung Haji akan membawa dia, ibu dan ayah serta kakaknya yang juga terlibat dalam kemalangan terbabit untuk menunaikan umrah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurut beliau, pertemuan sekitar 20 minit hari ini menunjukkan kecekalan semangat Nuraisyah meskipun kehilangan dua kakinya akibat digilis lori pasir ketika di dalam perjalanan pulang dari sekolah di Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Nuraisyah merupakan pelajar tingakatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap dan pada hari kejadian, dia menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama kakak tirinya, Shamim Amira Roslan,14 tahun.

Motosikal yang dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Kancil menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan dan kakinya digilis sebuah lori dari arah bertentangan kira-kira pada jam 3.30 petang Isnin lalu.

“Apa yang saya nampak, semangat Nuraisyah sangat kuat, saya difahamkan masa kejadian itu dia tidak pengsan langsung sehinggalah dibawa ke dewan bedah. Cuma mak dia sahaja tidak boleh terima..lagipun kejadian ini masih baru lagi.

“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga berkenaan yang mempunyai tujuh orang anak untuk disara. Jadi saya ingin mengajak rakyat yang mana hendak memberi sumbangan, bantu-bantulah bagi meringankan beban keluarga ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Baling itu.
 

Isnin, 18 Januari 2016

Pelajar 11 tahun hilang kaki

 
SABAK BERNAM – Seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap, dekat sini, putus kedua-dua kakinya selepas digilis sebuah lori di Parit 16, Sungai Panjang, dekat sini, petang tadi.

Pelajar Tingkatan Satu itu dikatakan menunggang motosikal bersama adiknya, dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mangsa yang terjatuh ke tengah jalan tidak sempat bangun dan digilis sebuah lori yang dipercayai membawa muatan tanah.

Difahamkan, pemandu kereta dan lori itu melarikan diri selepas kejadian. Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.- BHarian Online

Selasa, 5 Januari 2016

Maut terlanggar babi


Maut terlanggar babi hutan

6 JAN: Seorang pekerja pembersihan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar seekor babi hutan yang sedang melintas di Jalan Jenun, Pendang, awal hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim berkata dalam kejadian kira-kira 7.50 pagi itu, Aishah Mat, 47, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Mangsa, katanya, sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lubok Ular, Bukit Jenun ke tempat kerjanya di Pokok Tai, Pendang.

Menurut Fadzil, apabila terlanggar babi berkenaan, mangsa hilang kawalan ke atas motosikalnya lalu terjatuh di tengah jalan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat

Jumaat, 25 Disember 2015

Kemalangan bas dan lori di jeli

Empat penumpang bas ekspress disahkan maut manakala tujuh dilaporkan kritikal dalam satu kemalangan di Kilometer 14 Jalan Jeli-Gerik, Jeli Kelantan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar, berkata dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, bas yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menghala ke Kuala Terengganu, manakala sebuah lori muatan papan lapis dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu bas berkenaan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bergesel dengan lori dan terbalik.

"Kemalangan itu menyebabkan empat penumpang maut masing-masing dua lelaki dan dua.

Semua mangsa kini dihantar ke Hospital Jeli.

“Kepada keluarga penumpang bas terbabit atau saudara mara yang ingin mendapatkan maklumat semasa mengenai penumpang bolehlah menghubungi IPD Jeli,” katanya.-25/12/2015

Ahad, 20 Disember 2015

Oppo kotaraya

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan bahawa kes melibatkan seorang pengguna yang ditipu dalam isu pembelian telefon pintar di sebuah pusat membeli belah telah mendapat ‘pembelaan’.

 

Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi‎ ‎berkata, beliau dimaklumkan bahawa wang pengguna itu telah dipulangkan semula oleh peniaga yang berurus niaga dengannya dalam kes tersebut.

 

“Dia (pengguna) itu sudah dapat duit dia tadi, dia pergi menuntut duitnya bersama keluarganya,” kata Muhammad Yusuf menerusi WhatApps kepada Sinar Online semalam.

 

Terdahulu di media sosial ‘kecoh’ selepas kisah mengenai seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 55 tahun ditipu ketika membeli sebuah telefon pintar di Plaza Kota Raya pada 16 Disember lalu menjadi viral di media sosial.

 

Menurut catatan yang menjadi viral itu, menceritakan bagaimana lelaki itu tertipu dengan harga telefon pintar itu yang pada asalnya ‘murah’ sebaliknya selepas bersetuju untuk membelinya berubah menjadi mahal.

 

“Mula-mula, dia melihat harga yang dipamerkan di kedai tersebut, RM800. Dia pun bertanyakan lebih lanjut mengenai telefon berkenaan. Jurujualnya menerangkan dengan lebih lanjut.

 

“Berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan, pakcik ini terus menyatakan bahawa dia berminat dan mahu membeli telefon itu. Lalu jurujual terbabit meminta wang RM1,000 terlebih dahulu sebagai bukti (deposit) yang pakcik ini benar-benar berminat,” petik kenyataan itu.

 

Petik kenyataan itu lagi menceritakan ‎tanpa berfikir panjang, lelaki  itu  terus menghulurkan wang yang dipinta. Jurujual tadi meminta pakcik itu menunggu seketika sementara dia pergi mengambil stok telefon di stor.

 

“Selang beberapa minit kemudian, jurujual tadi datang membawa telefon yang diminta  oleh pakcik ini.

 

“Serta merta dia menjadi keliru, tadi jurujual tunjuk model yang lain tetapi yang dibawa pula model yang lain. Sekali lagi pakcik itu menjelaskan bahawa dia berminta pada model Oppo R7plus, bukannya pada model yang baru dibawa oleh jurujual itu.

 

Tanpa mempedulikan pakcik itu, jurujual itu terus mengambil model R7plus itu dan menyiapkan bil.

 

“Semua sekali RM3,100,” kata jurujual itu.

 

Alangkah terkejutnya pakcik ini apabila telefon yang disangkakan berharga RM800 pada mulanya, tiba-tiba menjadi RM3,100.

 

Disebabkan rasa bersalah, bil sudah dikeluarkan, takut dimarahi oleh jurujual berkenaan dan bimbang RM1,000 tadi hangus, pakcik itu terpaksa akur saja dengan jumlah yang dikenakan. Habis kesemua duitnya diserahkan kepada jurujual Oppo itu. – Sinar