Melihat kenaikan kadar kemalangan jalan raya termasuk yang menyebabkan kematian semakin meningkat, pihak polis bercadang untuk menaikkan kadar saman. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan tersebut diharap dapat menghalang para pemandu daripada melanggar undang-undang terutamanya yang gemar memandu laju.
“Ia juga mampu mencegah pemanduan yang berbahaya di lebuh raya, terutamanya menjelang musim perayaan kerana kadar kematian akibat kemalangan dilihat agak tinggi ketika ‘Op Selamat 8/2016’ dijalankan sempena Tahun Baru Cina,” ujar Khalid dalam laporan yang disiarkan oleh The Sun.
Khalid turut meluahkan kekesalannya apabila ada sesetengah pengguna jalan raya yang ingkar mematuhi undang-undang ini kerana berpendapat kadar kompaun sebanyak RM300 tidak memberikan apa-apa makna buat mereka. “Kami mungkin akan meningkatkan kompaun tetapi kadar tersebut perlu dibincangkan kemudian,” katanya lagi.
Menurut Khalid, Op Selamat sempena Tahun Baru Cina pada tahun lalu mencatatkan peningkatan sebanyak 18.8% jumlah kemalangan dengan sebanyak 17,632 kes direkodkan berbanding 14,836 kes pada tahun sebelumnya. Manakala kadar kematian akibat kemalangan pula meningkat sebanyak 22.4% iaitu sebanyak 186 kes berbanding 152 kes pada tahun 2014.
“Sesiapa yang melanggar undang-undang perlu berhadapan dengan kompaun yang maksimum. Sudah tiba masanya untuk kita bersikap tegas terhadap semua pengguna jalan raya. Tiada lagi advokasi di jalan raya dari kami,” tegas Khalid. Beliau turut berkata Ops Selamat akan berakhir pada 16 Feb ini.