Bajet 2016: Jumlah BR1M Ditambah
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2016 akan diteruskan dengan jumlahnya ditambah berbanding sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bertujuan bagi merealisasikan harapan seperti yang dijanjikan dalam ikhtiar meringankan kos sara hidup rakyat.
Katanya, satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima dalam senarai e-kasih yang berpendapatan bulanan yang dibawah RM1,000.
“Mereka akan menerima BR1M sebanyak RM1,050,” katanya.
Beliau berkata lagi, bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, BR1M akan ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000.
“Selain itu, bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000, pemberian BR1M ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800,” katanya.
Tambahnya lagi, pembayaran BR1M bagi kategori individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan juga ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.
“Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak RM1,000 akan diteruskan,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, meskipun ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan, namun melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan.
“Ini kerana terbukti BR1M tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup mereka,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan