Selasa, 26 Januari 2016

PRIHATIN : Najib Sumbang Bantuan Peribadi Buat Mangsa Langgar Lari

Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyampaikan sumbangan tersebut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi membantu keluarga mangsa terbabit.

“Perdana Menteri memberikan sumbangan RM10,000 tunai kepada Aisyah dan wang itu dimasukkan ke akaun Tabung Hajinya.

“Dan kami dari Biro Kebajikan Umno Malaysia menyumbangkan kaki palsu kepada mangsa dan bila mangsa nanti sudah sihat, kami dari pihak Tabung Haji akan membawa dia, ibu dan ayah serta kakaknya yang juga terlibat dalam kemalangan terbabit untuk menunaikan umrah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurut beliau, pertemuan sekitar 20 minit hari ini menunjukkan kecekalan semangat Nuraisyah meskipun kehilangan dua kakinya akibat digilis lori pasir ketika di dalam perjalanan pulang dari sekolah di Sungai Panjang, Sabak Bernam.

Nuraisyah merupakan pelajar tingakatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap dan pada hari kejadian, dia menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama kakak tirinya, Shamim Amira Roslan,14 tahun.

Motosikal yang dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Kancil menyebabkan mangsa terjatuh di tengah jalan dan kakinya digilis sebuah lori dari arah bertentangan kira-kira pada jam 3.30 petang Isnin lalu.

“Apa yang saya nampak, semangat Nuraisyah sangat kuat, saya difahamkan masa kejadian itu dia tidak pengsan langsung sehinggalah dibawa ke dewan bedah. Cuma mak dia sahaja tidak boleh terima..lagipun kejadian ini masih baru lagi.

“Saya harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga berkenaan yang mempunyai tujuh orang anak untuk disara. Jadi saya ingin mengajak rakyat yang mana hendak memberi sumbangan, bantu-bantulah bagi meringankan beban keluarga ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Baling itu.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan