ARKIB : 10/03/1999
HUKUMAN BERAT UNTUK PEMANDU LANGGAR LARI
KEMATIAN pelajar 19 tahun, Cheong Sin Ying di Jalan Kuchai Lama Rabu lepas kerana perbuatan langgar lari boleh dianggap sebagai satu tragedi yang perlu dijadikan ukuran oleh pihak berkuasa untuk mencermin tahap tanggungjawab para pemandu yang 'menghuni' jalan raya negara hari ini.
Kejadian yang menimpa pelajar tidak berdosa itu sungguh menyayat hati dan langkah mencegah perbuatan keji daripada menjadi satu 'trend' atau wabak dijalan-jalan raya harus diambil segera.
Selain dari itu, usaha yang berterusan juga perlu untuk menanam kesedaran yang tinggi di kalangan anggota masyarakat supaya memahami keseriusan sikap tidak bertanggungjawab sebahagian pemandu hari ini.
Sebenarnya, tiada siapa boleh menganggap kes langgar lari jarang berlaku semata-mata kerana ia jarang dilaporkan oleh media massa. Media massa mengharapkan maklumat daripada pihak polis seperti mana polis memerlukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan, laporan atau memaklumkan kejadian untuk bertindak.
Tanpa kerjasama masyarakat, pihak polis tidak mungkin mengetahui semua kejadian kerana negara mempunyai rangkaian jalan raya yang beribu kilometer panjang dari lebuh raya hingga kepada jalan-jalan kampung.
Adalah diyakini, kerjasama masyarakat adalah baik dan tahap kesedaran untuk menangani kes-kes langgar lari juga tinggi tetapi kita masih berandaian kes-kes saperti ini masih berlaku tanpa aduan kepada polis.
Dan dalam kes yang menimpa pelajar di Jalan Kuchai Lama itu, walaupun pemandu telah menyerah diri kepada polis, hakikat itu tidak sepatutnya dijadikan satu justifikasi untuk menganggap kematian pelajar Cheong Sin Ying sebagai bukan tragedi kepada masyarakat.
Kita tidak tahu pemandu mana lagi yang akan melakukan kesalahan yang sama dan keluarga mana yang akan menanggung kesedihan di atas kehilangan orang tersayang semata-mata kerana sikap keji memandu secara berbahaya dan tidak bertanggungjawab setelah melakukan kesalahan.
Dalam banyak hal, banyak jari menuding kepada anak-anak muda yang semakin ramai menjadi 'penghuni' jalan raya dengan pelbagai jenis kereta dan motosikal yang canggih, tetapi pemandu yang berumur juga tidak boleh diketepikan daripada memiliki sikap dan sifat yang sama.
Yang sukar dibuat kepastian ialah siapa di antara mereka yang berpotensi memandu secara berbahaya dan melakukan kejadian langgar lari.
Untuk itu, satu tindakan segera yang bersepadu dirasakan perlu dan ini termasuk meminda bab penghukuman undang-undang bagi membolehkan mereka yang disabit kesalahan kes langgar lari dikenakan hukuman paling berat.
Adalah dirasakan tindakan perundangan yang lebih tegas termasuk hukuman penjara mandatori perlu digubal sebagai ganti peruntukan penjara sehingga lima tahun dan jumlah denda yang lebih tinggi daripada sehingga RM10,000 di bawah Akta Pengangkutan Jalan yang ada sekarang.
Penjara mandatori dan denda yang lebih tinggi akan sentiasa memberi ingatan kepada para pemandu untuk lebih bersopan seperti mana hukuman denda maksima RM300 kepada pesalah lalu lintas telah mengurangkan rasa berani dan angkuh pemandu untuk berhenti di petak kuning, memotong di garisan berkembar atau tidak berhenti semasa lampu isyarat berwarna merah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan