Isnin, 17 Ogos 2015

Kos yang ditanggung hospital

Tanggung hutang pesakit warga asing RM2.4 juta

Kuala Lumpur: Hospital Kuala Lumpur (HKL) dibebani hutang RM2.4 juta daripada pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan sejak setahun lalu.

Unit Perhubungan Awam HKL dalam kenyataannya kepada Harian Metro mendedahkan, statistik dari tempoh Julai 2013 sehingga Julai tahun lalu mendapati bil hospital dikeluarkan kepada pesakit warga asing bernilai lebih RM8.2 juta.

“Daripada RM8,260,613 itu, bil bernilai RM2,477,713. 50 masih dalam tunggakan berikutan ada pesakit warga asing mendapatkan rawatan dan lari tanpa membayar bil rawatan dan kerugian itu ditanggung HKL.

“Antara puncanya pesakit tidak berkemampuan, tiada waris atau penjamin, lari dari hospital dan keengganan pihak majikan menjelaskan bil, bagi kes yang tidak dilindungi SPIKPA (Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing),” katanya.

Difahamkan, HKL menanggung kos rawatan ditinggalkan pesakit warga asing kerana kesukaran mendapat kerjasama atau menjejaki semula pesakit yang tidak menjelaskan bayaran rawatan mereka.

Kenyataan itu turut menyebut, masalah itu berpunca daripada pelbagai kerenah pekerja warga asing yang dihadapi antaranya pemalsuan dokumen, kurangnya kerjasama pihak kedutaan negara dan majikan dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Tidak kurang juga masalah pemalsuan dokumen seperti pasport, permit kerja, malah ada kad keahlian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) turut disalah guna,” katanya.

Menurutnya, HKL juga tidak menolak pesakit warga asing tanpa izin yang datang mendapatkan rawatan walaupun tidak mempunyai dokumen diri atau dilindungi SPIKPA terutama dalam kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera.

“Atas dasar kemanusiaan kami tidak menolak mereka untuk mendapatkan rawatan, namun masalah timbul selepas rawatan diberi apabila mereka tiba-tiba menghilangkan diri.

“Ketiadaan sebarang dokumen menyukarkan hospital menjejak mereka untuk menjelaskan bil rawatan hospital,” katanya.

Selain itu, jelasnya terdapat juga kes warga asing wanita yang bersalin, tetapi tidak mahu membawa bayinya bersama selepas tamat rawatan atau terus meninggalkan bayi dan melarikan diri.

Bagi kes sedemikian katanya, ia dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL dan seterusnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkan bayi berkenaan di rumah kebajikan masyarakat.

Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kamaruzaman Umar ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan nilai keseluruhan tunggakan bil rawatan warga asing di semua hospital kerajaan di seluruh negara.

“Kami kumpul maklumat memandangkan bermula Januari ini juga kami mula melaksanakan bayaran caj rawatan penuh secara berfasa dalam tempoh tiga tahun kepada semua warga asing,” katanya.

Tinjauan di Jabatan Pesakit Luar HKL mendapati, terdapat notis ditampal KKM yang menjelaskan mengenai kadar caj pendaftaran bagi warga asing baharu bermula 1 Januari lalu.

“Bagi pesakit luar, kadar baru yang dikenakan adalah RM23, klinik pakar (RM78), jabatan kecemasan (RM65) manakala caj wad atau rawatan boleh dirujuk kepada Perintah Fee Perubatan (Kos Perkhidmatan) 2014.

“Caj bagi rawatan, ujian makmal, siasatan dan implanatau prostesis akan dikenakan caj tambahan,” menurut kenyataan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan