Isnin, 7 September 2015

Setiap sesuatu pasti ada hikmah sebaliknya

PUSAT REKAAN: Inilah antara kaki dan anggota tubuh palsu yang dihasilkan di Pusat Penjagaan Kaki dan Rekaan Anggota Tubuh di TTSH. – Foto-foto M.O. SALLEH

Berita Harian (20 March 2014) - SATU kemalangan motosikal yang dialami Encik Desmond Tong mengakibatkan beliau kehilangan kaki kanannya, tetapi ia akhirnya menjadikan beliau pakar kaki prostetik, atau palsu.

Ada bengkel dan kumpulan sokongan prostetik

PUSAT Penjagaan Kaki dan Rekaan Anggota Badan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) mempunyai bengkel khusus bagi membuat dan memasang kaki dan tangan palsu (prostetik) yang direka khas buat penggunanya.

TTSH merupakan salah sebuah institusi kesihatan dalam kelompok National Healthcare Group (NHG). Dibuka pada 1981, pusat itu juga menawarkan khidmat kemasyarakatan menerusi beberapa hospital lain, termasuk Hospital Ang Mo Kio Thye Hua Kwan, Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Ren Ci, dan sekolah keperluan khas.

Dianggarkan sekitar 300 pesakit memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan di pusat itu setiap tahun. Kos bagi membuat dan memasang anggota tubuh palsu ialah daripada $1,300 bagi prostetik bawah lutut kepada lebih $50,000 bagi kaki bionik menggunakan teknologi bijak yang boleh mengesan pergerakan kaki.

Selain itu, terdapat sebuah Kumpulan Sokongan bagi Golongan Kudung Kaki Tangan yang dibentuk pada 2007.

Kumpulan sokongan itu bertujuan menggalak pesakit kudung anggota badan berkumpul bagi pelbagai kegiatan, baik di dalam mahupun luar. Ia mengadakan pertemuan setiap bulan demi menyokong satu sama lain dan belajar menerusi pengalaman satu sama lain.

Setiap sesi pertemuan disertai antara 15 hingga 30 anggota. Pada 2012, rangkaian golongan kudung kaki tangan TTSH dan Hospital Ang Mo Kio Thye Hua Kwan bergabung agar dapat diluaskan.

Kini, Encik Tong bukan sahaja ahli prostetik dan ortotik yang menghasilkan kaki palsu, bahkan memberi nasihat kepada mereka yang senasib dengannya.

Ortotik ialah alat bagi menyokong atau merawat otot, sendi atau bahagian rangka yang lemah, tidak berkesan, cacat atau cedera. Apa yang dialami Encik Tong bak tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Pada Julai 1999, motosikal yang ditunggang Encik Tong, yang kini berusia 37 tahun, berlanggar dengan sebuah teksi. Beliau menjalani enam pembedahan, tetapi akhirnya terpaksa mengambil keputusan memotong kaki kanannya dua tahun kemudian.

“Saya sendiri yang minta kaki saya itu dipotong. Selepas kemalangan itu, beberapa jari kaki kanan saya terpaksa dipotong kerana tidak dapat diselamatkan. Akibatnya, pergerakan saya terjejas.

“Kaki saya juga kerap rasa sakit dan kulit kaki saya asyik berdarah. Beberapa kali, bahagian dalam kasut saya berlumuran darah.

Kerana tidak tahan, saya ambil keputusan kudungkan sahaja kaki kanan saya itu hingga hampir ke paras lutut,” kata Encik Tong. Kejadian itu juga membuat pengajian beliau dalam bidang pentadbiran perniagaan di sebuah universiti swasta terhenti.

Namun, lama-kelamaan kaki Encik Tong pulih dan dengan bantuan kaki prostetik, atau palsu, yang dipakainya mulai 2001, beliau boleh berjalan hampir seperti biasa.

Selepas itu, anak bongsu daripada keluarga tiga beradik itu bekerja sebagai pentadbir sistem dalam sektor teknologi maklumat dan kemudian menjadi ejen hartanah. Bagaimanapun, nasib menentukan beliau diperkenalkan kepada industri prostetik oleh seorang pekerja dalam industri tersebut dan akhirnya beliau menyertainya meskipun pendapatannya sebagai ejen hartanah agak baik.

Ini membuka lembaran baru dalam kehidupan Encik Tong, yang mendirikan rumah tangga dua tahun lalu tetapi belum mempunyai cahaya mata.

Beliau mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam bidang prostetik dan ortotik di Universiti Salford di Manchester, England, pada 2007.

Beliau mendapat biasiswa National Healthcare Group (NHG) bagi pengajian tahun dua hingga empat.

“Sebelum itu, saya agak menyesal kerana tidak menamatkan pengajian universiti saya. Tapi saya fikir mungkin takdir menentukan yang saya harus melanjutkan pengajian dalam bidang berbeza,” katanya.

Encik Tong lulus ijazah sarjana muda dengan kepujian kelas pertama pada 2011 dan kemudian bekerja di Jabatan Prostetik dan Ortotik di Pusat Penjagaan Kaki dan Rekaan Anggota Badan, Hospital Tan Tock Seng (TTSH) bagi memenuhi bon selama lima tahun.

Mengulas mengenai Encik Tong, pengurus pusat itu, Cik Susanna Koh, berkata: “Sebagai seorang pemakai kaki palsu, beliau memahami keperluan berbeza setiap pesakit.

Pastinya beliau dapat membantu pesakit membuat keputusan dengan lebih mudah tentang kaki palsu yang mereka perlukan.” Antara tugas Encik Tong ialah membuat kaki prostetik, memberi khidmat konsultasi kepada pesakit yang bakal menjalani pembedahan memotong kaki dan memberikan nasihat kepada pesakit yang memerlukan kaki palsu.

Beliau menjadi contoh pesakit yang tidak ‘patah kaki’ walau kudung dan menambahkan kemahiran hingga akhirnya dapat membantu orang senasib dengannya.

Malah, berbekalkan semangat juang yang kuat, Encik Tong, bekas anggota pasukan judo belia nasional, mewakili Singapura dalam acara pecut 100 meter di Sukan Para Asean di Myanmar Januari lalu.

Meskipun tidak memenangi sebarang pingat, beliau berjaya memecahkan rekod peribadinya. “Tidak apa. Saya dah pun buat persiapan bagi Sukan Para Asean tahun depan. Mudah-mudahan, saya dapat kedudukan lebih baik,” kata Encik Tong, penuh bersemangat. Ada bengkel dan kumpulan

Source:. Berita Harian © Singapore Press

Tiada ulasan:

Catat Ulasan